Ahad, 13 Mac 2011

Syarat Sah Solat

Suci dan bersih badannya dari hadas besar dan kecil – Ertinya seseorang itu telahpun berwuduk dan mandi hadas. Sabda Rasulullah s.a.w.
"Allah tidak menerima solat seseorang dari kamu, apabila dia berhadas sehingga dia berwuduk" (H.R. Bukhari,Muslim).

Suci dan bersih pakaian serta tempat solat dari najis – Orang yang mendirikan solat wajib suci pakaian dan tempat solatnya dari najis, kecuali najis yang dimaafkan seperti darah yang sedikit, kotoran yang melekat pada kaki dan sebagainya. Dalam kaedah feqah disebutkan bahawa "kesukaran itu dapat menarik keringanan", oleh itu najis yang dimaafkan itu tidak membatalkan solat.

Menutup aurat – Adapun menutup aurat bagi wanita ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan kedua tapak tangan. Manakala aurat lelaki ialah diantara pusat hingga lutut. Batas ini paling penting dan wajib ditutup dalam solat. Firman Allah s.w.t.
"Wahai manusia, pakailah perhiasan mu ketika hendak solat di masjid" (Al-A'raf:31).

Menghadap Kiblat – Ketika mendirikan solat, kita diwajibkan menghadap kiblat iaitu Kaabah berdasarkan firman Allah s.w.t.
"Maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (Kaabah)" (Al-Baqarah:144).

Yakin bahawa waktu solat telah masuk – Dengan yakin telah masuk waktu solat fardu yang hendak dilaksanakan.

Sekiranya sesudah tamat solat, lalu disedari perkara yang tersebut di atas terjadi - misalnya didapati ada najis di sejadah - maka perlulah diulangi solat itu kerana ia tidak menepati syarat sah solat