Isnin, 6 Jun 2011

Solat Dhuha

Solat dhuha adalah sembahyang sunat 2 rakaat atau lebih. Maksimanya 12 rakaat.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلَاثٍ بِصِيَامِ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَيْ الضُّحَى وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَرْقُدَ

Drp Abu Hurairah, Sabda Nabi saw, "Telah berpesan kepadaku temanku (Rasulullah saw) tiga macam pesanan: Puasa 3 hari setiap bulan, sembahyang dhuha 2 rakaat dan sembahyang witir sebelum tidur" (riwayat Bukhari, Muslim dan Thabarani).

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ صَلَّى الضُّحَى ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بَنَى اللَّهُ لَهُ قَصْرًا مِنْ ذَهَبٍ فِي الْجَنَّةِ

Drp Anas bin Malik, Sabda Nabi SAW ; "Barang siapa sembahyang dhuha 12 rakaat, Allah akan membuat baginya istana daripada emas di syurga" (riwayat Tirmidzi & Ibnu Majah)

Rasulullah bersabda yang bermaksud,

"Siapa saja yang dapat mengerjakan solat Dhuha dengan istiqamah, akan diampuni dosanya oleh Allah, sekalipun dosa itu seluas lautan."

Rasulullah bersabda lagi,

"Solat Dhuha itu mendatangkan rezeki dan menolak kefakiran (kemiskinan), dan tidak ada yang akan memelihara solat Dhuha kecuali hanya orang-orang yang bertaubat."

Di dalam hadis yang lain pula diterangkan seperti berikut:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ:"إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا، يُقَالُ لَهُ: الضُّحَى، فَإِذَا كَانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ نَادَى مُنَادٍ: أَيْنَ الَّذِينَ كَانُوا يُدِيمُونَ عَلَى صَلاةِ الضُّحَى؟ هَذَا بَابُكُمْ فَادْخُلُوهُ بِرَحْمَةِ اللَّهِ

Dari Abu Hurairah RA dari Nabi SAW , beliau bersabda : "Bahawasanya di syurga ada pintu yang dinamakan, "Dhuha." Maka jika kamu datang hari kiamat kelak, serulah (malaikat) penyeru: manakah orang-orang yang telah mengerjakan solat Dhuha? Inilah pintu kamu, silakan masuk ke dalam dengan rahmat Allah." Al-Tabrani

Niat Solat Dhuha

أصَلِّي سُنَّةَ الضُحَى رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ

Sahaja aku mengerjakan sembahyang sunat dhuha dua rakaat kerana Allah Ta'ala

Selesai solat, hendaklah baca tasbih ini sebanyak 10 kali

سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ الْعَلِيُّ الْعَظِيمِ عَدَدَ خَلَقِ اللَّهِ وَبِدَوَامِ مُلُكِ اللهِ

"Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan yang lain melainkan Allah, Allah yang Maha Besar, tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah yang Maha Besar, pujian sebanyak bilangan ciptaan Allah dan selama kekalnya Kekuasaan Allah"

Doa :

اللَّهُمَّ إِنَّ الضُّحَاءَ ضُحَاءُكَ وَالْبَهَاءَ بَهَائُكَ وَالْجَمَالَ جَمَالُكَ وَالْقُوَّةَ قُوَّتُكَ وَالْقُدْرَةَ قُدْرَتُكَ وَالْعِصْمَةَ عِصْمَتُكَ . اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ رِزْقِي فِي الْسَمَاءِ فَأَنْزِلْهُ وَإِنْ كَانَ فِيْ الأَرْضِ فأَخْرِجْهُ وَإِنْ كَانَ مَعْسِرًا فَيَسِّرْهُ وَإِنْ كَانَ حَرَامًا فَطَهِّرْهُ وَإِنْ كَانَ بَعِيْدًا فَقَرِّبْهُ بِحَقِّ ضُحَائِكَ وَجَمَالِكَ وَقُوَّتِكَ وَقُدْرَتِكَ آتِنِي مَا أَتَيْتَ عِبَادَكَ الصَّالِحِيْنَ

"Ya Allah sesungguhnya waktu Dhuha, waktu dhuha-Mu, cahayanya cahayaMu, kerinduannya kerinduanMu, kekuatannya kekuatanMu, ya Allah sekiranya rezekiku ada di langit maka turunkannya jika ada di bumi keluarkannya. Jika cahaya jauh pendekatannya dan jika ada hampir maka permudahkannya dengan kebenaran dhuhaMu, cahayaMu, kekuatanMu dan kesucianMu, berikanlah kepada hamba-hambaMu yang soleh.

Am

Jika suamimu mengUTAMAkan ibunya, syukurlah kerana itu tanda kebahgiaan untukmu walaupuun ia tak secocok dgn keinginanmu. Jika suamimu pentingkan diri mu.. Ketahuilah itu tanda-tanda kepada kecelakaan mu kerana suamimu sebenarnya telah memecah amanah yg Allah telah tentukan. justeru, nasihati suamimu dgn lemah lembut untuk utamakn ibunya.. Agar tempias keberkatan & kebhgiaan akan kau rasai.. Wallahualam..

Isnin, 30 Mei 2011

Istidraj

Apakah dia istidraj itu?

Ianya adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya dan kejadian luar biasa yang diberikan kepada orang fasik yang mengaku sebagai wakil Tuhan dengan mengemukakan berbagai dalil untuk menguatkan kebohongannya.

Al Istidraj mempunyai beberapa nama atau istilah yang berbagai:

1. Adakalanya seseorang dikabulkan segala permintaannya agar ia makin bertambah ingkar dan sesat, tetapi pada akhirnya ia akan dimatikan dalam keadaan kafir.
Hal itu seperti yang disebutkan dalam firman Allah: “Nanti Kami akan menarik mereka dengan beransur-ansur (ke arah kebinasaan ) dengan cara yang tidak mereka ketahui”. (Al-Qalam :44)

2. Makar:
Dalam Al Qur’an disebutkan: “Maka tidak ada yang terhindar dari tipu daya Allah kecuali orang yang rugi”. (Al-‘Araf: 99)

Allah berfirman: “Dan mereka berbuat tipu daya, maka Allah membalas mereka dengan tipu daya yang serupa dan Dia sebaik-baik yang membuat balasan” (Ali ‘Imran: 54)

3. Al Kaid artinya tipu daya:
Dalam firman Allah disebutkan: “Mereka berusaha menipu Allah, padahal Allah yang menipu mereka” (An-Nisaa’:142)
Allah berfirman: “Mereka akan menipu Allah dan orang-orang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri, tetapi mereka tidak merasakannya”. (Al-Baqarah: 9)

4. Imla’ mempunyai arti memberi tangguh:
Firman Allah: “Dan janganlah orang-orang kafir itu mengira bahawa pemberian tangguh bagi mereka itu memberi kebaikan bagi mereka, tetapi hal itu terjadi agar mereka makin bertambah dosa-dosanya” (Ali ‘Imran: 178)

5. Al Ihlak mempunyai arti kebinasaan:
Allah berfirman: “Sampai ketika mereka bergembira dengan apa yang diberikan kepada mereka, maka Kami siksa mereka dengan cara yang mendadak” (Al-‘Anaam: 44)
Allah berfirman: “Firaun dan bala tentaranya menyombongkan diri di permukaan bumi tanpa alasan yang dibenarkan, dan mereka mengira bahwa mereka tidak akan kembali kepada Kami, maka Kami menyiksanya dan bala tentaranya, kemudian Kami menenggelamkan mereka di dalam laut” (Al-Qisas: 33)

Rasullulah s.a.w. bersabda :"Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT." (Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi, hidup mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana pula orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak,dia boleh hidup kaya dan mewah. Bila kita tanya, apa kamu takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah!

Sombongnya mereka, takburnya mereka. Rasullulah s.a.w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong, Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.

Manusia istidraj - Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. "Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong." Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.

Rasullulah s.a.w bersabda: "Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya" (Kitab Nasaibul Ibad) Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap), dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt.

Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.

Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya. Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga. Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita.

Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang dan mewah. Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya? Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan. Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari.

Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah. Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya. Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.

Isnin, 23 Mei 2011

Hukum Lelaki Bertindik

1. Bertindik adalah amalan khas bagi wanita dengan tujuan perhiasan. Disebut dalam beberapa hadis bahawa ada kalangan wanita sahabiyyat yang memakai anting-anting di telinga.

Antaranya hadis Ibn Abbas, iaitu pada suatu hari raya selepas baginda solat berkhutbah, baginda pergi menuju ke kawasan perempuan dan memberi tazkirah khas kepada mereka sambil menyeru supaya bersedekah. Ibn Abbas mengatakan: “Aku melihat mereka mengisyaratkan kepada telinga-telinga mereka dan tengkuk2 mereka, lalu menyerahkan (barang perhiasan mereka) kepada Bilal”.

Manakala golongan lelaki dilarang menyerupai wanita di dalam perihal perhiasan, sebagaimana hadis Ibn Abbas: Nabi SAW melaknat org yang menyerupai wanita dari kalangan laki-laki, dan org yang menyerupai lelaki dari kalangan wanita. Direkod oleh Bukhari (no: 5547).

Oleh itu, hukum lelaki bertindik adalah haram.

2. Lelaki yang bertindik dalam keadaan dia mengetahui perbuatannya haram dan berterusan melakukannya walaupun sudah ditegur dihukum sebagai fasik. Pendapat yang sahih ialah sah bersolat di belakang imam yang fasik, cuma tidak digalakkan.

Kata Imam Nawawi dalam Majmuk: “Di dalam kitab al-Sahih terdapat banyak hadis-hadis yang menunjukkan sah sembahyang di belakang orang fasik dan imam-imam yang zalim”.

Isnin, 2 Mei 2011

Penghapus Dosa

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya : “Mana-mana muslim yang apabila masuk waktu sembahyang yang diwajibkan lalu dia pun berwudhuk dengan wudhuk yang baik, melakukan solat dengan sebaik-baiknya begitu juga dengan ruku’nya, maka sembahyang itu merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosanya yang telah lalu, selagi dia tidak melakukan dosa besar”. (Riwayat Muslim)

Agak menghairankan apabila didapati ada orang yang mengerjakan sembahyang, tetapi masih tidak segan silu melakukan dosa dan maksiat. Mengapa? Jawapannya adalah kemungkinan besar kerana sembahyang yang dikerjakan itu sebenarnya tidak ikhlas kepada Allah melainkan untuk menunjuk-nunjuk, riya’ dan takabur. Sembahyang yang sedemikian ini sama sekali tidak akan memberikan apa-apa kesan terhadap jiwa dan pembentukan peribadi serta tidak dapat menjamin serta mendinding diri daripada melakukan perkara-perkara negatif dan maksiat.

Sesungguhnya sembahyang dalam erti kata yang sebenar ialah sembahyang yang dikerjakan dengan hati yang khusyuk dan menghayati setiap apa yang dibaca. Hasilnya ia berupaya mendidik seseorang kepada pembangunan sahsiah muslim yang sejati. Hal ini bermula dengan berwudhuk yang menganjurkan kebersihan tubuh badan serta pakaian, sehinggalah kepada geraklaku dan tatatertib khusus yang perlu diiltizamkan oleh orang yang sembahyang.

Sembahyang berjemaah contohnya, mendidik seseorang itu mematuhi seorang ketua yang tidak harus bagi seorang makmum mendahului imam dalam apa jua geraklakunya. Manakala dari hal menjaga saf-saf ketika bersembahyang pula memberikan satu pengajaran tentang kepentingan perpaduan dalam suatu masyarakat yang dipimpin.

Selain kebersihan zahir, sembahyang juga mampu melupuskan kotoran dosa yang pernah dilakukan kerana sembahyang merupakan satu-satunya peluang keemasan untuk setiap hamba mencari pengampunan dari Allah S.W.T. Usaha ini diseiringkan dengan amalan zikir dan doa-doa yang dibaca sewaktu sembahyang di mana ia akan menguatkan lagi hubungan dengan Allah S.W.T.

Isnin, 25 April 2011

Fadhilat Al-Quran

Hazrat ‘Abdullah bin Mas’ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab ALLAH TAALA maka untuknya diberi satu ‘hasanah’ (kebaikan) sebagai ganjaran bagi huruf itu dan satu hasanah adalah sama dengan sepuluh pahala. Aku tidak berkata (’Alif, lam, mim) sebagai satu huruf tetapi (alif) adalah satu huruf, (lam) adalah satu huruf dan (mim) adalah satu huruf.”

(Hadith riwayat Tirmizi)

Rabu, 20 April 2011

Mengenal 4 Buah Kitab

Kitab Taurat

Kitab Taurat telah diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Musa a.s. dalam bahasa Ibrani. Dalam Kitab Taurat ini terkandung hukum syarak dan keyakinan yang betul. Ia juga menerangkan bahawa seorang nabi akhir zaman (Muhammad s.a.w.) akan lahir dari keturunan Nabi Ismail a.s. Kitab Taurat yang asli tidak ditemui lagi pada masa sekarang kerana isinya telah ditokok tambah oleh orang-orang yahudi.

Kitab Zabur

Kitab Zabur telah diturunkan oleh Allah s.e.t. kepada Nabi Daud a.s. dalam bahasa Qibthi. Kitab Zabur tidak mengandungi hukum perundangan. Kandungannya hanya mengenai perkhabaran, cerita, zikir, doa serta hikmah-hikmah. Oleh sebab itu Nabi Daud tidak mempunyai syariat tersendiri, ia dan umatnya hanya mengikut syariat yang dibawa oleh Nabi Mus

Kitab Injil

Kitab Injil diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Isa a.s. dalam bahasa Suryani. Diantara kandungannya yang utama ialah menyeru umat manusia agar mengEsakan Allah s.w.t. Kitab Injil juga memberitakan akan kelahiran seorang nabi dan rasul diakhir zaman iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Orang-orang Yahudi telah mengingkari akan kebenaran Allah s.w.t. Mereka telah menghimpunkan kitab-kitab ini menjadi satu yang diberi nama "bible" kemudian mereka ubah isi kandungannya mengikut kehendak hati mereka agar berkesesuaian dengan kehidupan mereka seharian. Bible ini terbahagia kepada dua bahagian besar. Pertama bahagian Taurat yang dinamakan dengan Perjanjian Lama (Old Testament). Kedua bahagia Injil yang dinamakan dengan Perjanjian baru (New Testament).

Kitab Suci Al Quran

Kitab suci Al Quran adalah sebuah kitab yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Al Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Di dalam Al Quran mengandungi hukum-hukum serta peraturan yang lengkap meliputi seluruh aspek kehidupan manusia, sama ada untuk mencapai kemakmuran hidup di dunia mahupun untuk kebahagiaan hidup di akhirat. Ajaran yang disampaikan di dalam Al Quran sesuai untuk seluruh umat manusia dipermukaan bumi ini tidak kira bangsa dan keturunannya. Ajaran yang termuat di dalam Al Quran lengkap dan sempurna, ia tidak akan berubah dan kekal selama-lamanya bahkan ia tetap dipelihara oleh Allah s.w.t.

Isnin, 11 April 2011

Hukum-Hukum dalam Islam

  • Halal — dibolehkan
  • Haram — dilarang
  • Sah — tidak batal
  • Batal — tidak sah
  • Fardu — disuruh
  • Fardu Ain
  • Fardu Kifayah
  • Wajib — disuruh
  • Sunat — disukai
  • Mubah/Harus — diharuskan
  • Makruh — tidak disukai

Jumaat, 8 April 2011

Puasa Sunat

  • Puasa enam hari pada bulan Syawal
  • Puasa hari Arafah
  • Puasa Hari Asyura pada 10 Muharam
  • Puasa bulan Syaaban
  • Puasa Isnin dan Khamis
  • Puasa tengah bulan iaitu 13,14,15 pada tiap-tiap bulan qamaria (tahun Hijrah)

Rabu, 6 April 2011

Jenis-Jenis Talak

Lafaz talak terbahagi kepada dua:
  • Talak Sharih
  • Talak Kinayah.
Talak Sharih membawa maksud "nyata" atau "jelas". iaitu talak yang diucapkan oleh suami kepada isterinya dengan kalimah yang jelas dan terang, lafaz seumpama ini hanya membawa maksud penceraian dan tiada pengertian yang selainnya, seperti kalimah "Talak" atau "Cerai".

Contoh lafaz yang Sharih:

  • Aku ceraikan kau dengan talak satu
  • Aku telah melepaskan (menjatuhkan) talak untuk engkau
  • Hari ini aku ceraikan kau
  • Jika suami melafazkan talak dengan mengunakan kalimah yang "Sharih" seumpama di atas ini, maka talak dikira jatuh walaupun tanpa niat dan saksi.
Sementara Talak Kinayah pula membawa maksud kalimah yang secara tidak langsung yang mempunyai dua atau lebih pengertiannya. Umpamanya jika suami melafazkan kepada isterinya perkataan:

  • Aku tak nak kau lagi, kau boleh balik ke rumah orang tua kau
  • Pergilah engkau dari sini, ke mana engkau suka
  • Kita berdua sudah tiada apa-apa hubungan lagi
  • Lafaz-lafaz seumpama ini termasuk dalam kategori Kinayah, jika suami tidak berniat untuk menceraikan isterinya maka talak tidak jatuh, tetapi jika sebaliknya iaitu suami mempunyai niat menceraikan isterinya ketika melafazkan kalimah ini, maka talak dikira jatuh.
Bagi pasangan yang meragui akan lafaz yang telah diucapkan oleh suami, mereka hendaklah menghubungi pihak Mahkamah bagi mendapatkan pengesahannya. Begitu juga bagi pasangan yang ingin merujuk semula, mereka perlulah melaporkan perkara ini ke Mahkamah Syariah bagi mendapatkan nasihat selanjutnya.

Jenis-jenis Talak

Terdapat beberapa jenis talak di dalam perceraian, jenis-jenis talak ini boleh dikategorikan seperti berikut:
  • Talak Raj'ie
  • Talak Battah
  • Talak Bain
  • Menjatuhkan talak tiga sekaligus
  • Talak Sunni
  • Talak Bid'i

1. Talak Raj'ie

Talak Raj'ie membawa maksud talak yang boleh dirujuk semasa isteri di dalam iddah dengan lafaz-lafaz tertentu, iaitu pasangan tidak dikehendaki melalui majlis pernikahan atau ijab dan kabul. Talak yang dilafazkan oleh suami hanya di kira Raj'ie jika ia merupakan talak yang pertama atau talak yang kedua.


2. Talak Battah

Talak Battah adalah talak yang dilafazkan oleh suami kepada isterinya buat selama-lamanya, umpamanya perkataan suami kepada isterinya,

"Aku ceraikan kau buat selama-lamanya"

Menurut pandangan Imam Syafi'e talak seumpama ini hanya jatuh menurut niatnya, jika suami berniat satu maka talak hanya disabitkan satu, tetapi jika dia berniat tiga maka talak dikira jatuh tiga.


3. Talak Bain

Talak Bain ini terbahagi kepada dua bahagian:

Talak Bain Kubra
Talak Bain Sughra.

Talak Bain Kubra adalah talak yang telah berlaku kepada pasangan tersebut sebanyak tiga kali. Iaitu suami telah menceraikan isterinya sebanyak tiga kali. Pasangan ini tidak boleh rujuk atau bernikah semula buat selama-lamanya, melainkan isteri tersebut menikahi lelaki lain dan mereka hidup sebagai suami isteri yang sah. Jika ditakdirkan isteri ini berpisah atau suaminya yang kedua itu meninggal dunia, maka barulah suami pertamanya berhak menikahi bekas isterinya ini.

Talak Bain Sughra adalah talak yang telah diucapkan oleh suami kurang daripada tiga kali, tetapi pasangan tidak boleh "Rujuk" kembali melainkan dengan pernikahan yang baru, walaupun isterinya di dalam iddah. Sebahagian dari talak Bain Sughra adalah:

Talak yang diputuskan oleh Hakam
Talak melalui Khulu'
Talak yang difasakhkan oleh Hakim

4. Menjatuhkan Talak Tiga Sekaligus

Di zaman Nabi saw dan Abu Bakar ra, talak yang dijatuhkan tiga dalam satu waktu dihukum hanya jatuh sekali sahaja. Tetapi semasa Sayyidina Umar Ibnu Khattab ra menjadi Khalifah, beliau telah menghukumkan jatuh ketiga-tiga talak sekaligus. Keputusan ini dibuat oleh Sayyidina Umar kerana di zamannya ketika itu masyarakat amat mempermudahkan lafaz talak yang dibuat.

Bila berlaku perkara seumpama ini Hakim Mahkamah akan membicarakan kes pasangan yang terbabit dan memutuskan hukum talaknya.

5. Talak Sunni

Talak Sunni adalah talak yang mengikut sunnah Nabi saw, iaitu seorang suami menceraikan isterinya di saat ia telah suci dari haid dan sebelum mereka bersatu, lalu suami melafazkan talak di hadapan dua orang saksi.

6. Talak Bid'i

Talak Bid'i adalah talak yang diucapkan oleh suami ketika isteri dalam keadaan berikut:
  • Talak diucapkan oleh suami sedang isteri uzur (haid).
  • Talak diucapkan oleh suami sedang isteri dalam nifas.
  • Talak diucapkan oleh suami sedang isteri dalam keadaan suci tetapi suami telah bersatu dengannya.